MAF Peruntuk Rm 2 Juta Laksanakan Projek Smart Classroom Di 40 Buah Sekolah
Pulau Pinang, 26 Mac 2023 – Dalam merealisasikan misi membantu para pelajar mendapatkan suasana pembelajaran yang terkini dan berkualiti, Yayasan AEON Malaysia (MAF) hari ini melancarkan projek kelas pintar (Smart Classroom) yang akan melibatkan sejumlah 23 ribu orang pelajar sekolah.
Projek Smart Classroom merupakan kolaborasi MAF bersama Yayasan Didik Negara (YDN) iaitu sebuah yayasan dibawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang berfungsi untuk menyelaraskan setiap sumbangan untuk impak yang optimum.
Majlis pelancaran projek Smart Classroom ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia bertempat di Sekolah Kebangsaan Mengkuang di Pulau Pinang.
Sejumlah RM2 juta telah diperuntukkan untuk projek ini yang akan dilaksanakan di 40 buah sekolah menengah kebangsaan dan sekolah rendah kebangasaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Kelantan.
Projek Smart Classroom ini melibatkan kerja-kerja naik taraf infrastruktur dan kemudahan bilik darjah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan. Ini termasuk pemasangan penghawa dingin yang baharu, papan putih interaktif (Interactive White Board), perabot dan peralatan lain untuk bilik darjah.
Ia akan menjadi sebuah platfom yang mampu melonjakkan potensi dan bakat pelajar di sekolah serta memberi peluang menyesuaikan diri dengan dunia pendigitalan teknologi pintar seiring perkembangan teknologi pada masa kini.
“MAF akan melaksanakan projek Smart Classroom ini di dalam dua fasa, iaitu pada fasa pertama melibatkan kesediaan infrastruktur untuk sekolah. Melalui kerjasama pelbagai pihak, fasa pertama ini telah dilaksana sepenuhnya. Fasa kedua pula akan ditumpukan kepada para guru bagi membantu mereka mengadaptasi sistem ini ke dalam kurikulum mereka.” kata Datin Noryahwati Mohamad Noh, Presiden, Yayasan AEON Malaysia.
“Kaedah pembelajaran terkini sangat sesuai dengan jiwa generasi muda dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih interaktif dan menarik minat pelajar. Kami merasa amat berbesar hati atas kerjsama yang diberikan oleh semua pihak dalam melaksanakan misi untuk terus membantu mempertingkatkan mutu pendidikan negara.” sambung beliau lagi.
Turut menyerikan majlis tersebut ialah Hardian Hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YDN, Dato’ Hj. Pkharuddin Hj. Ghazali, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON dan Tuan Haji Abdul Rashid Abdul Samad, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang.
Projek ini merupakan lanjutan dari inisiatif “AEON Sayap Bagimu” di mana sejumlah 4,150 unit tablet telah diagihkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini dijalankan bagi membantu merapatkan jurang pembelajaran para pelajar yang terkesan semasa pandemik COVID-19.
Projek ini adalah selaras dengan usaha MAF untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) SDG 16 – yang menggalakkan masyarakat yang aman dan inklusif untuk pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina berkesan, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat.
Stay Updated.
Keep up to date with our continuous efforts to help Malaysians discover the joys of life.